Kata Hati

     Fikiranku melayang entah kemana. Kepalaku semakin pening hari ke hari. Seribu persoalan terbuku dalam kotak fikiranku. Kenapa semua ini harus aku yang harungi? Mengapa perlu aku yang terpilih untuk menghadapi kesukaran ini? Persoalan-persoalan itu menghantuiku. Aku terasa sebak namun air mata membeku dikelopak mata. Mungkin sudah terlalu berat. Tahun ini aku merupakan calon SPM. Namun, bagaimana aku hendak fokus kepada pelajaran jika segalanya semakin rumit? Kepalaku hampir meletus, pecah! Sejuta kali aku bertanya kepada-Nya, namun tiada jawapan. Apa aku tidak berhak untuk mengetahui tujuanNya memperlakukan hidupku sebegini? Apakah tujuan sebenar-Nya? Aku hanya perlukan jawapan. Aku mahu semuanya kembali kepada asal. Seperti mana aku menjalani hidup ketika diwaktu kecil dahulu. Aku mulai merindui kehidupan aku yang dulu. Aku tidak ingin menjadi dewasa. Ada masanya aku berfikir, “mungkin ada hikmah disebalik semua benda yang berlaku ini.” Tapi, apa? Apa hikmahnya? Apakah yang telahku lakukan dihayat lepas sehingga menyebabkan kehidupanku sekarang menjadi sesukar ini? Aku mahu berjaya dalam hidup. Tapi, jika semuanya semakin rumit, bagaimana? Aku semakin menyimpang jauh dari masa depan yang cerah. Susah untukku melihat cahaya terang dalam diriku. Cahaya itu semakin pudar dan kegelapan semakin mengambil alih. Aku tidak mahu. Aku mahu benar-benar gembira. Aku tidak sanggup melemparkan senyuman palsu di hadapan teman-temanku. Ia membuatkan aku menjadi seorang penipu. Aku mahu memberikan senyuman gembira yang benar-benar gembira dan bukan dibuat-buat. Aku juga berharap agar air mata ini senang membasahi pipi agar aku berasa lebih lega. Tetapi, tidak. Hanya hati yang semakin sebak apabila mengenang semuanya.  Semuanya nampak salah dimata ini sekarang. Sudah terlampau berat untuk ku tanggung semua ini. Ya, Tuhan. Berikan aku kekuatan. Berikan aku kasih sayangMu kerana aku amat memerlukanNya. Aku memohon kepadaMu, kurangkanlah kesakitan yang semakin bertambah-tambah dilubuk hati ini. Terangilah jalanku agar aku tidak menyimpang jauh. Berkatilah aku. Aku belum bersedia untuk menghadapi kesukaran ini. Jika sukar untukMu memberikan aku jawapan, berikanlah aku kekuatan untuk aku mengharungi semuaNya. Aku tahu, semua ini ada hikmah disebaliknya. Berikanlah aku pertunjuk. Satu pertunjuk sudah memadai.